• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Walau Banjir, Kenduri Sambut Menantu Tetap ‘On’

HULU TERENGGANU, 7 Januari - Kenduri menyambut menantu di Kampung Pengkalan Ajal, dekat sini, yang sepatutnya berlangsung esok terpaksa diubah perancangannya selepas kawasan itu dilanda banjir malam tadi.

Bagi bapa pengantin lelaki, Mohd Idris Che Alas, 66, tidak menyangka hari penting untuk keluarganya itu bertukar menjadi sesuatu yang tidak dapat dilupakan apabila kediamannya itu dinaiki air.

"Secara jujurnya, kami tidak menjangkakan banjir berlaku sekali lagi luar daripada kebiasaannya.

"Majlis yang dirancang selama dua bulan sepatutnya berlangsung dengan kemeriahan itu tetap diteruskan jika banjir tidak surut dengan menukar perancangan yang mana kami akan membungkus makanan untuk diagihkan kepada penduduk sekitar yang terjejas banjir.

"Jemputan hanya terhad kepada 100 orang termasuk tempahan makanan dan ia tidak menjadi masalah jika ditukar kepada perancangan baharu yang dibuat oleh kami sekeluarga," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Sementara itu, bagi pengantin lelaki Ahmad Lokman Nil Hakim Mohd Idris, 28, berkata ia akan menjadi kenangan dalam hidupnya dan juga isteri.

Walaupun begitu dia bersyukur kerana telah selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Norsyamimi Mat Razi, 27, pada 2 Januari lepas.

"Ia terpaksa diteruskan sebagaimana yang telah dirancang sebelum ini ekoran semua telah ditempah.

"Jemputan sudah dibuat, daripada batal lebih baik kami teruskan seperti biasa atau bungkus jika banjir masih tidak surut,” katanya.


Tag: