• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Wan Nawawi Terima Pengiktirafan Bomba

Wan Nawawi dipakaikan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) oleh Wan Mohd Nor Ibrahim dalam Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat JBPM di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail hari ini menerima pengiktirafan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi pemakaian pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat).

Pemakaian pangkat itu disempurnakan Ketua Pengarah JBPM, Dato' Seri Wan Mohd Nor Ibrahim, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Wan Mohd Nor berkata, pemakaian pangkat itu merupakan penghargaan JBPM kepada individu berpengaruh yang banyak memberi bantuan dan sumbangan tanpa mengira waktu kepada jabatan itu.

"Pengiktirafan ini tanda terima kasih JBPM di atas sumbangan dan sokongan diberikan Wan Nawawi yang juga merupakan Pengerusi Bencana Negeri yang banyak membantu JBPM dari semasa ke semasa khususnya ketika bencana seperti banjir, ribut, kebakaran dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail.
Katanya, JBPM sangat menghargai peranan Wan Nawawi dalam membantu melancarkan gerak kerja jabatan itu terutamanya ketika berlaku bencana yang tidak diingini.

Tag: