Berita :
Wanita Muda Terengganu Dapat Makanan Berbuka Percuma
Wanita Muda Terengganu Dapat Makanan Berbuka Percuma
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
52

KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Program Sinar Ramadan anjuran Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) terus menjadi platform kebajikan dalam menyantuni golongan beliawanis di negeri ini sepanjang bulan Ramadan.

Timbalan Pengerusi NGO HANEES, Fatin Norsuaidah Mahdi, berkata program tersebut bertujuan memberi bantuan makanan berbuka puasa secara percuma kepada golongan beliawanis berumur antara 16 hingga 40 tahun yang terpilih.

Menurutnya, selain membantu meringankan beban penerima, program itu juga bertujuan menyemai nilai keprihatinan, kebajikan dan semangat berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat sepanjang bulan Ramadan.

“Program ini juga menjadi medium untuk mengukuhkan ukhuwah dan hubungan silaturahim antara HANEES serta golongan beliawanis, di samping menzahirkan peranan aktif pertubuhan dalam melaksanakan program kebajikan dan kemasyarakatan,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, Program Sinar Ramadan telah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu dan terus mendapat sambutan baik daripada masyarakat.

Menurutnya, bagi tahun ini, program tersebut menyasarkan sekurang-kurangnya 60 penerima di setiap daerah di seluruh negeri Terengganu yang akan menerima juadah atau lauk berbuka puasa.

Tambah beliau, pelaksanaan program dilakukan mengikut kesesuaian kawasan, antaranya melalui edaran dari rumah ke rumah, agihan di pusat membeli-belah kepada pekerja, pemberian kepada pelajar universiti dan sekolah serta penganjuran majlis berbuka puasa bersama penerima.

“Penerima amat gembira apabila menerima juadah berbuka puasa. 

"Dalam masa yang sama, program ini memberi peluang kepada kami untuk memperkenalkan HANEES kepada masyarakat serta menyantuni golongan beliawanis termasuk mereka yang sedang bercuti daripada pengajian,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap program tersebut dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang kerana bukan sahaja mendapat sambutan masyarakat, malah menjadi wadah untuk berkongsi rezeki serta memperkukuh semangat kebersamaan sepanjang Ramadan yang mulia.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan