• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Wanita Terengganu Antara 43 Individu Di Dunia Berdarah Emas

KUALA TERENGGANU, 1 Disember – Seorang wanita Terengganu tergolong dalam 43 individu yang mempunyai darah paling sukar ditemui di dunia atau berdarah emas.

Menurut Perkhidmatan Tabung Darah Negeri Terengganu, wanita tersebut diklasifikasikan sebarah penderma darah Rhnull.

“kelompok ini paling sukar ditemui di dunia dan setakat ini hanya ada 43 orang sahaja di seluruh muka bumi mempunyai kumpulan darah tersebut. Di Malaysia, hanya beliau seorang setakat ini.

“Darah yang didermakan akan dihantar ke Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur untuk disejuk bekukan dan seterusnya akan disimpan dalam peti nitrogen -80 darjah celsius selama 10 tahun.

“Jika ada pesakit yang memerlukan darah jenis ini, maka darah ini akan dicairkan untuk digunakan,” katanya menerusi satu hantaran, baru-baru ini.

Sementara itu, pihaknya turut mengajak seluruh warga agar turut sertai menyumbang darah dalam usaha menyelamatkan mereka yang memerlukan.

Menurut Akademi Sains Australia, orang yang hidup dengan jenis darah ini tidak mempunyai sebarang antigen Rh (protein) pada sel darah merah.

Dilaporkan bahawa kumpulan darah yang jarang ditemui pertama kali ditemui pada wanita Orang Asli Australia pada tahun 1961.

Jarangnya bermakna derma Rhnull amat terhad dan sukar diperoleh apabila individu dengan jenis darah tersebut memerlukan transfusi.

Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan jadual pusat derma darah mengikut daerah, ikuti ‘Derma Darah Terengganu Kite’ di Facebook serta saluran Telegram Derma Darah Terengganu di pautan : https://t.me/DermaDarahTerengganu