• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Wanita UMNO Dituntut Manfaat Kemajuan Teknologi



Wanita UMNO mesti menerima cabaran dan mendakap perubahan bersama kemajuan teknologi untuk meletakkan parti itu di kedudukan yang terbaik melalui rangkaian media sosial.

Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Dato' Jailani Johari berkata, Wanita UMNO perlu menggunakan  medium media sosial ini untuk memberi penerangan yang jelas kepada golongan wanita dan surirumah mengenai isu-isu yang menjadi viral.

"Beri mereka ini penerangan sebenar agar tidak keliru dan tertipu dengan dakyah-dakyah pembangkang yang memanipulasi maklumat. Kita perlu mendidik masyarakat di luar sana agar meneliti dahulu sesuatu berita yang mereka terima dan jangan sesekali kongsi berita-berita yang palsu atau fitnah.

"Kita perlu sentiasa berwaspada dan beringat kerana bukan semuanya benar di internet. Jika tidak pasti jangan kongsi ataupun kita boleh layari portal SEBENARNYA.MY bagi mendapatkan maklumat yang tepat berhubung sesuatu isu semasa,"kata Jailani ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Dewan Akademi Binaan Malaysia (ABM), Jenagor, Hulu Terengganu, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang dihadiri lebih 1,200 perwakilan dan Jalinan Rakyat(JR)& JR Plus daripada 130 cawangan di Bahagian Hulu Terengganu.

Turut hadir, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Fatimah Hamat; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Dato' Rozi Mamat; Naib Ketua UMNO Bahagian, Yusof Awang Hitam; Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Ghazali Taib; Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, Johari Abu Bakar dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Rozita Ismail.




Menurut Jailani yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, pada alaf ini media sosial menjadi medium komunikasi utama di kalangan masyarakat, tidak terhad kepada golongan muda sahaja malahan pelbagai peringkat umur menggunakannya untuk memberi penjelasan pelbagai isu dicetuskan parti pembangkang bagi menjatuhkan kerajaan.

"Penyebaran berita palsu dan fitnah semakin berleluasa kini dengan pihak pembangkang sering mengambil kesempatan untuk memburukkan kerajaan.Tapi saya yakin sayap Wanita kini dilengkapi dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan agar dapat bertindak pantas membantu dalam situasi yang memerlukan," katanya.

Tambahnya lagi, Wanita UMNO merupakan tulang belakang, golongan yang paling setia, rajin dan sentiasa menjaga maruah parti sejak dahulu lagi ketika memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

"Di Parlimen Hulu Terengganu,untuk terus relevan di hati rakyat, kita mesti sepakat, sepadu, sehati, sejiwa dan seperjuangan bagi memastikan kita kekal di Parlimen dan di tiga Dewan Undangan Negeri(DUN) iaitu Telemong, Ajil serta Kuala Berang... InsyaAllah kita akan menawan kembali DUN Manir yang menjadi kubu pembangkang.

" Kita perlu pastikan kemenangan kita kali ini adalah dengan majoriti yang lebih besar. Kita gempur habis-habisan dan saya yakin kita pasti berjaya dengan gerak gempur yang dilakukan oleh Wanita UMNO di bawah Jalinan Rakyat(JR)," ujarnya lagi.

Tag: