• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Waran Tangkap Terhadap Exco Terengganu Terbatal

KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Waran tangkap terhadap Mohd Nor Hamzah ekoran kegagalan beliau menyambung bicara dalam perbicaraan Petisyen Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) Parlimen Marang Khamis lalu, terbatal.

Peguam responden, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, waran kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri itu dibatal Mahkamah Pilihan Raya Terengganu setelah Mohd Nor hadir untuk memberi keterangan pada hari ini.

Jelas beliau, responden dan pempetisyen bersetuju supaya saksi bagi kedua-dua pihak dipanggil sekiranya terdapat ruang untuk berbuat demikian.

"Pihak pempetisyen masih mempunyai tiga saksi yang belum dipanggil tapi mahkamah membenarkan kita memanggil saksi responden dulu.

"Ia dipersetujui oleh pihak kita (responden) dan pihak pempetisyen. Bila ada ruang kosong di mahkamah saksi yang berkelapangan boleh dipanggil. Selepas ini mahkamah akan panggil saksi pihak pempetisyen," ujar beliau ketika ditemui media di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, di sini.

Sebelum ini Mohd Nor berkata peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman lewat memberi makluman kepadanya untuk ke mahkamah menjadi antara sebab beliau tidak dapat hadir ke perbicaraan pada 16 Mac.

“Saya memberikan kerjasama dalam perbicaraan pada 14 Mac, namun pada 16 Mac saya terpaksa memenuhi komitmen program kerajaan negeri dan tidak dapat membatalkan program yang perlu dihadiri,” jelasnya.

Terdahulu Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Mohd Nor hadir ke bagi memberi keterangan berhubung petisyen PRU15 Parlimen Marang pada jam 9 pagi.

Sementara itu, Abdul Hadi yakin keputusan perbicaraan akan berpihak kepada PAS kerana menurutnya, kes tersebut tidak melanggar kesalahan pilihan raya.

“Alhamdulillah, tidak ada apa-apa, perbicaraan berlangsung macam biasa, kita jawab soalan yang ditanya peguam dia dan peguam kita.

“Insya-Allah (akan berjaya) kerana tidak melibatkan kesalahan pilihan raya, ia lebih kepada ‘perang saraf’ Umno, kerana dia tak menang dalam pilihan raya, tapi nak menang melalui mahkamah,” ujar beliau.

Pada Januari lalu, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.


Tag: