• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Warga Emas Dua Kali Menang Motosikal

DUNGUN, 2 Oktober- Seorang warga emas menganggap motosikal yang diperolehi selepas memenangi hadiah cabutan bertuah hadiah utama Modenas Kris 110 sempena Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) DUN Bukit Besi baru-baru ini sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka.

Zainon Mohamad, 63 yang berasal dari Kampung Tepus terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang ketika menghadiri ceramah pada malam perasmian karnival tersebut.

"Rezeki tidak pernah salah alamat, mak cik bersyukur kerana Allah telah memilih mak cik dapat hadiah cabutan bertuah.

"Mak cik suka dengar ceramah dan tidak pernah ketinggalan untuk hadir walaupun diadakan di mana sahaja, kalau tidak sakit demam, sampailah mak cik," katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman.

Lebih mengujakan itu adalah kemenangan kali kedua Zainon memenangi hadiah cabutan motosikal kerana sebelum ini dia turut terpilih memenangi motosikal SYM Sport 110E pada  Sambutan 70 Tahun PAS Peringkat Kawasan Dungun.

Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera merupakan medan untuk rakyat berkumpul dan melakukan pelbagai aktiviti bersama.

Karnival ini juga merupakan ruang terbaik bagi kerajaan negeri untuk menyampaikan dan memaklumkan tentang apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sepanjang tempoh empat tahun mentadbir negeri.


Tag: