• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Warga Emas Pindah Segera Elak Bahaya Rumah Dinaiki Air



Petugas banjir menyampaikan makanan kepada mangsa yang berada di pusat pemindahan SK Chendering. Foto oleh Zulkilfi Putra.

Kesan hujan lebat di beberapa kawasan seluruh Terengganu sejak awal pagi semalam menyebabkan seramai 308 mangsa daripada 77 keluarga dipindahkan di lima pusat pemindahan banjir, masing-masing di Kuala Terengganu dan Kemaman.

Tinjauan Teganukita di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, Kuala Terengganu, hari ini, seramai enam mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di sekolah berkenaan sejurus rumah masing-masing tidak lagi selamat untuk didiami selepas dinaiki air.

Seorang mangsa, Zainab Zainal, 61, berkata, kejadian hujan lebat yang tidak berhenti sejak awal pagi semalam menyebabkan rumahnya mula dimasuki air sehingga ke paras lutut dan suasana sedikit cemas, apatah lagi banyak perkakas tidak sempat dipindahkan ke kawasan selamat.

“Pada pukul 10 pagi air sudah mula naik dan memasuki rumah, makcik mula meminta bantuan jiran untuk mengangkat barang-barang penting seperti mesin basuh serta peti sejuk manakala barang-barang lain seperti perabot terpaksa dibiarkan dahulu.

“Sejam selepas itu, air makin tinggi sehingga ke paras lutut. Makcik beritahu kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) serta penghulu kampung untuk berpindah segera.

Zainab Zainal

“Mula-mula makcik berpindah di salah satu homestay berdekatan dengan Masjid Sultan Ismail pada pukul 1 petang dan apabila pusat perpindahan mula dibuka pada pukul 8.30 malam tadi, Pengerusi J3K bawa makcik ke sini,” katanya.

Zainab yang menghidap sakit jantung berkata, kejadian banjir dan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan itu adalah kali kedua sejak 2014.

Katanya, faktor keuzuran dan  tenaga yang kian terhad, menyebabkannya tidak lagi dapat melakukan kerja berat sejak kebelakangan ini, sekali gus dia lebih berwaspada serta berpindah segera sebelum terperangkap dalam banjir.

“Makcik mula dikesan menghidapi masalah jantung pada 2013 dan sejak itu makcik tidak boleh melakukan kerja-kerja berat.

“Sehingga kini, dah dua kali makcik dimasukkan ke wad. Kalau tengok arus air yang laju macam kejadian yang berlaku semalam pun boleh membuatkan makcik sakit dada,” katanya.

Bagi Saripah Jalil, 38, pula, berkata rumahnya yang terletak di Kampung Gong Pak Maseh, Kuala Terengganu mula dinaiki air pada pukul 12 malam dua hari lepas.

“Air mula naik pada pukul 12 malam berikutan hujan lebat yang tidak berhenti tetapi saya mula berpindah pada siang hari semalam.


“Ini merupakan kali kedua rumah saya dinaiki air. Saya ingat tahun ini tidak akan mengalami kejadian yang sama apabila rumah tersebut telah dilakukan penambahbaikan namun air tetap melimpah naik,” katanya.

Di Kuala Terengganu, selain dua keluarga di SK Gong Tok Nasek (6), seramai tujuh daripada tiga keluarga lagi kini berada di SK Chendering.

Manakala di Daerah Kemaman seramai lima mangsa dipindahkan ke Balai Raya Kampung Titian Berayun, Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah (256) dan Sekolah Kebangsaan (SK)  Telok Kalong (34).

Tag: