• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Warga Emas Sebak Bakal Terima Rumah Baharu

KUALA TERENGGANU, 14 September -  Warga emas, Shafie Mohd@Sulong, 74, sebak apabila diberitahu kerajaan negeri akan membina rumah baharu untuknya sekeluarga selepas kediaman lama musnah dijilat api baru-baru ini.

Rumah pusaka yang berusia 80 tahun terletak di Kampung Losong Haji Awang itu didiami bersama dua anaknya terbakar dalam kejadian jam 7 pagi.

Tragedi tersebut melibatkan kerugian hampir RM100,000 termasuk wang tunai RM20,000 hasil berniaga, barangan kemas dan dua buah motosikal.

Kata Shafie, buat masa ini, mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudara yang tinggal berhampiran.

"Setakat ini kami menumpang dahulu di rumah sanak saudara sehingga semuanya kembali seperti sedia kala," jelasnya semasa ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya bersetuju membina semula rumah milik Shafie di kawasan sama dalam tempoh terdekat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri memaklumkan, pihak berkaitan akan menilai saluran mana yang diperlukan agar urusan itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Kita ada  Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Tabung Darul Iman dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ketiga-tiga agensi ini saling berkait untuk menyalurkan bantuan.

“Berkaitan itu, pihak Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam sudah mengambil tindakan segera.

“Saya berharap kedua-dua mangsa tabah menghadapi ujian, tetapi sebaliknya tetap kena bersyukur kerana  tiada kemalangan yang meragut nyawa,” katanya.

Dalam lawatan itu, Wan Sukairi dan pihak Manis FM menghulurkan sedikit bantuan.


Tag: