• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Warga Emas Terselamat Daripada Mendapan Tanah


HULU TERENGGANU, 5 Disember - Gara-gara terlewat beberapa minit kerana mengambil ubat-ubatan, seorang warga emas terselamat dari menjadi mangsa mendapan tanah di bahagian bilik mandi di rumahnya di Felda Mengkawang .

Zainab Ismail, 65, kebiasaannya akan mandi terlebih dahulu dan sebaik sahaja selesai, dia akan mengambil ubat untuk penyakit kencing manis, darah tinggi serta saraf sebelum meneruskan rutinnya seharian.

Menurut anak lelakinya,  Mohd Haslim Mohd Nasir, 33, sebelum kejadian tanah mendap itu berlaku, dia baru sahaja selesai mandi dan dan kebiasaannya akan disusuli oleh ibunya.

"Namun pada hari kejadian, mak ambil ubatnya dahulu sebelum mandi dan ketika itulah bunyi dentuman kuat kedengaran dan apabila saya pergi melihat rupanya sebahagian bilik mandi dah runtuh.

"Terdapat banyak kesan retakan pada dinding dapur dan lantai menyebabkan saya menghalang mak pergi ke belakang rumah kerana bimbang berlaku lagi mendapan tanah,"ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Felda Mengkawang, Ajil baru-baru ini.

Katanya, ia berpunca dari air atas bukit yang turun melalui laluan rumahnya dan merupakan kejadian yang sering berlaku setiap hujan lebat.

"Ia turun ikut laluan luar rumah keluarga saya sebab tidak ada saluran khusus untuk mengalir.Cuma kali ini, air terlalu deras dan kuat menyebabkan berlaku tanah mendap seterusnya meruntuhkan sebahagian belakang rumah,"jelasnya lagi.

Haslim yang tinggal di Kampung Langgar, Kuala Berang berkata sejak kejadian itu, dia terpaksa berulang setiap hari ke rumah ibu bapanya walaupun jaraknya jauh tetapi demi keselamatan, dia sanggup melakukannya.

"Jiwa saya tak tenang memikirkan keadaan mak lebih-lebih lagi ayah pun sakit terlantar jadi apa salahnya saya berulang alik demi mereka.

"Adik beradik saya ramai tetapi mereka duduk berjauhan cuma saya yang dekat dan ia menjadi tanggungjawab saya sekarang,"kata anak ketujuh dari lapan beradik ini.

Kejadian tersebut mendapat perhatian pihak pengurusan Felda dengan menghantar bantuan segera dengan menggorek longkang sementara sepanjang enam meter bagi membolehkan air mengalir dengan sempurna.

"Terima kasih kepada pihak Felda kerana cepat bertindak dengan menghantar jengkaut selepas kejadian berkenaan, semoga rumah ibu bapa saya selamat jika berlaku lagi hujan lebat,"ujarnya.