• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

SETIU, 8 September – Seluruh komuniti di daerah ini dirayu supaya mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selepas kesemua penduduk di lebih lima buah kampung telah dikenakan perintah kuarantin kerana terdapat peningkatan kes positif COVID-19.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, penularan Covid-19 menyebabkan ramai yang dikuarantin akibat mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif.

“Untuk hari ini, dua buah kampung dikenakan kuarantin kesemua penduduknya iaitu penduduk Kampung Maras dan Wakaf Chatur. 

“Sebelum ini, perkara sedemikian telah terjadi, kita dapat lihat yang mana Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD)," katanya hari ini.

Tambah beliau lagi, pada minggu lepas perkara itu turut berlaku di beberapa buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap.

“Di Kampung Banggol pun pernah terjadi yang mana satu kampung dikenakan ujian calitan akibat terdapat kes COVID-19 yang tinggi.

“Boleh dikatakan setiap kampung di Parlimen Setiu ini mempunyai kes dan mempunyai kontak rapat yang ramai.

"Jadi saya memohon kepada penduduk di Parlimen Setiu untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya lagi.


Tag: