• 03 Ogos 2021 | 24 Zulhijah 1442

Waris Pekerja Ladang Terima Faedah PERKESO

DUNGUN, 10 Disember - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Daerah Dungun menyampaikan bayaran faedah kepada waris pekerja Ladang Risda Durian Mas 3 yang meninggal dunia 3 Disember lalu.

Salema Abdul Rahman, 48, meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Jerangau Jabor ketika pulang dari tempat kerja.

Ketika kejadian, motor dibawa Salema telah dilanggar sebuah lori dari arah belakang, dan dia disahkan mati ketika menerima rawatan di hospital Dungun.

Pengurus PERKESO Dungun, Nor Afizah Aziz berkata, suami arwah, Sahidan Mat, 56, layak untuk menuntut Skim Bencana Pekerjaan.

"Melalui skim berkenaan suami kepada arwah akan menerima pencen bulanan untuk seumur hidup.

"Skuad Prihatin PERKESO telah mengambil tindakan proaktif melakukan siasatan terhadap kes ini, hasil semakan mendapati arwah merupakan pekerja dan pencarum dibawah majikan Ladang Risda Durian Mas 3,  justeru warisnya layak menerima faedah dibawah skim ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan faedah pengurusan mayat berjumlah RM 2,000 kepada waris arwah di kediamannya, di Taman Setia Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman serta Pengurus Ladang Risda Durian Mas 3, Zolkipli Mohamad.

Afizah berkata, dua daripada enam orang anak arwah yang masih berusia di bawah 21 tahun turut layak menerima faedah atau pencen bulanan.

"Sehingga masing-masing yang kini berusia 16 tahun dan 9 tahun mencapai umur 21 tahun atau tidak lagi berada di bawah tanggungan bapa mereka," ujarnya.

Sementara itu Ghazali berkata, faedah yang diterima oleh keluarga arwah diharapkan  akan dapat digunakan dengan sebaik-baiknya.

"Semoga Shahidan diberi kekuatan serta dipermudahkan segala urusan untuk meneruskan kehidupan bersama anak- anak dengan tidak mengabaikan kebajikan dan pendidikan mereka," ujarnya 


Tag: