• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Warisan Pahlawan Resort  Terjemahkan Seribu Keindahan Seni

 


HULU TERENGGANU, 13 Ogos - Seperti  berada di sebuah desa zaman silam apabila menjejak kaki di Warisan Pahlawan dan itulah keistimewaan penginapan yang mengekalkan binaan rumah tradisi berusia lebih 150 tahun sebagai antara pilihan penginapan pengunjung di sana di Kampung Pauh, kira-kira lima kilometer dari Bandar Kuala Berang.

Resort yang berinspirasikan istana Terengganu pada era Sultan Mansor Shah ke-2 ini dilihat sebagai satu mahakarya cukup menarik terutama kepada peminat seni lama termasuk pelancongan di negeri ini.

Rumah kayu yang lazimnya dikaitkan sebagai simbol kemiskinan dan ketinggalan zaman, kini dijelmakan sebagai satu simbol kemewahan dan kemegahan yang dari sisi lainnya, suatu yang mungkin berakhir sebagai bahan terbuang dan boleh lenyap begitu sahaja.

Menurut pemiliknya, Tuan Mohd Anuar Tuan Ahmad, 34, rumah-rumah ini diberi nama sempena nama pahlawan dan ulamak Melayu iaitu Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Pauh,Tok Kenali dan beberapa orang lagi telah mula beroperasi pada bulan Julai 2008. 

“Antara yang paling istimewa, terdapat sebuah  rumah berusia lebih dari 150 tahun yang merupakan salah sebuah rumah persinggahan Pahlawan Mat Kilau di Kampung Pasir Nering di zaman kepahlawanan Melayu. Sebahagian kecil komponen rumah yang hilang atau rosak telah diganti mengikut bentuk asal.

“Di sini terdapat 11 buah rumah persis istana lama yang sarat dengan pelbagai motif ukiran melayu lama dan ada di antara bilik termasuk rumah yang disediakan tidak dilengkapi dengan penghawa dingin kerana mementingkan keaslian binaan rumah tradisi berkenaan.

“Jika rumah lama ini, binaan asalnya tiada siling jadi saya hanya letakkan kipas tanpa penghawa dingin, jika memasang siling untuk diletak penghawa dingin, ia sudah tidak asli kerana suasana dan udara di dalam rumah pada waktu siang sangat selesa,” katanya yang turut dibantu isteri tercinta Nurullizah Mohd Noor, 33.

Menurutnya, kadar sewaan di Warisan Pahlawan Resort bermula daripada serendah RM60 hingga RM250 semalam untuk sebuah bilik manakala bagi kadar sewaan rumah pula adalah dari RM250 hingga RM800 semalam bagi sebuah rumah yang mempunyai antara empat hingga enam bilik.

Dia yang mewarisi legasi ayahnya,Tun Ahmad Tun Abdullah, 61, berkata hampir semua bilik-bilik di resort dilengkapi dengan katil kayu dan tilam kekabu termasuk seni hiasan lama menggunakan kayu dan  idea untuk membina resort unik ini merupakan ilham ayahnya yang sebelum ini mengusahakan kedai makan sebelum bersara.

‘”Minatnya yang mendalam  tentang seni bina melayu dan sanggup menjelajah ke serata tempat untuk membeli rumah-rumah lama yang ada dengan kos RM5,000 hingga RM10,000 berdasarkan keadaan rumah.

“Ayah menghabiskan sebanyak RM3.5 juta untuk merealisasikan Warisan Pahlawan Resort sebagai pusat pelancongan yang mengekalkan konsep melayu lama dan kini mewariskan resort kepada anak-anaknya untuk dikembangkan lagi mengikut perkembangan semasa,”ujarnya lagi.

Tambahnya, kos harga yang di tawarkan adalah berpatutan dengan  harga bilik dari RM40 sehingga RM100 dan harga satu rumah hanya dari RM250 hingga RM800 semalam yang mempunyai antara empat hingga enam bilik.Ini termasuk pakej seminar serta perkahwinan  dengan harga yang berpatutan dan terbaharu resort mereka menyediakan kemudahan kolam renang yang turut dibuka kepada orang ramai setiap hari.

Kini dua beranak yang mempunyai minat yang sama ini  telah mengorak selangkah ke hadapan  dengan membina dan mengambil tempahan untuk membina rumah dan krafkayu yang berkonsepkan ukiran melayu tradisional.

“Kos pasang siap bagi sebuah rumah antara RM150 ribu hingga RM300 ribu manakala krafkayu seperti gazebo  bermula dari harga RM10,000 ribu sehingga RM50,000 yang dibantu 10 pengukir tempatan termasuk dari Indonesia dan Thailand,” katanya.