• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

DUNGUN, 4 Disember -Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harus mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah agar sentiasa berwaspada apabila hujan berterusan kerana ketika ini berlakunya fenomena air pasang besar.

Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) telah mengeluarkan amaran akan berlaku air pasang besar bermula 1 Disember hingga 8 Disember ini.

"Hari ini baru 4 Disember, bila hujan tambah lagi air pasang, air sungai akan masuk ke parit dan boleh menyebabkan banjir.

"Justeru penduduk di Kampung Kubang Putat, Temiang, Baru Tiong dan Rantau Abang terutamanya diharap sentiasa bersedia untuk berpindah sekiranya diminta berbuat demikian.

"Macam berlaku satu kes  di Batu Tiong semalam, mangsa tersekat tidak boleh keluar, terpaksa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu Tiong meminta bantuan Angkatan Pertahanan Awam untuk ambil dengan bot," ujarnya. 

Alias berkata demikian selepas meninjau kawasan yang dinaiki air dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa tempat di DUN Rantau Abang, hari ini.

Beliau turut berharap agar ibu bapa tidak membiar anak-anak keluar bermain air dan sentiasa mengawasi mereka untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Bilik Gerakan Banjir DUN Rantau Abang dalam satu kenyataan memberitahu, sebanyak tujuh PPS telah dibuka iaitu PPS Dewan Sivik Seberang Pintasan, Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, Sekolah Kebangsaan Balai Besar, Balai Raya Kampung Rantau Abang, Balai Raya Kampung Batu Tiong, Sekolah Kebangsaan Tok Kah dan Sekolah Kebangsaan Kuala Abang dengan seramai 197 orang mangsa banjir sehingga pagi tadi.