• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Wujudkan Majlis Tindakan OKU, Bukti Kerajaan Negeri Cakna

KUALA TERENGGANU, 23 April - Kerajaan negeri mewujudkan Majlis Tindakan Orang kurang Upaya (OKU) Negeri Terengganu (MTOT) pada 6 Mac 2024 selaras dengan Dasar Orang Kurang Upaya dan Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya 2016-2022.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata penubuhan majlis tersebut bagi memastikan OKU mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.

Katanya, ahli Majlis terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pakar perubatan dan ahli akademik yang berkaitan dengan OKU serta wakil OKU daripada Pertubuhan Sukarela Kebajikan OKU.

"Antara fungsi dan peranan MTBOKUNT seperti menyelia pelaksanaan dasar negara, dasar negeri dan pelan tindakan yang berhubungan dengan OKU, membuat syor kepada kerajaan mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan OKU seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan OKU.

"Kita juga memantau aktiviti semua jabatan, agensi, badan atau pertubuhan, kerajaan dan sektor swasta yang terlibat dalam pelaksanaan, dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan OKU.

"Majlis ini juga boleh mengesyorkan kepada Kerajaan perubahan kepada undang-undang sedia ada dan juga mencadangkan undang-undang baru bagi menjamin penyertaan penuh OKU dalam masyarakat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri bagi membantu golongan OKU di Terengganu dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menurut Maliaman lagi,  MTBOKUNT juga berperanan membangunkan program dan strategi yang bertujuan untuk mendidik masyarakat bagi meningkatkan kesedaran berhubung dengan OKU.

Dalam masa sama, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Bengkel Pemulihan Kebajikan Marang bagi memberi latihan kemahiran dan pemulihan kepada OKU khususnya anak-anak klien jabatan yang keciciran dalam pelajaran.

"Kita telah memperuntukkan sebanyak RM1,404,410.50 pada tahun 2023 dan RM1,199,618.40 bagi tahun 2024 bagi perbelanjaan mengurus dan pengoperasian bengkel ini. 

"Ini membuktikan kerajaan negeri sangat komited dan cakna terhadap golongan orang kurang upaya dalam memastikan kebajikan mereka terjamin dan dapat menjalani kehidupan dengan sejahtera serta mampu berdikari," ujarnya.


Tag: