• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

YADIM Laksana Tanggungjawab Dakwah

DUNGUN, 1 Mac - Tidak dapat dinafikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19 memberi kesan bukan sahaja kepada  ekonomi tetapi juga sosial budaya masyarakat sehingga menyebabkan mereka tertekan. 

Menyedari demikian, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melaksanakan tanggungjawab dakwah, turun padang menghulurkan sumbangan disamping menyampaikan nasihat ringkas kepentingan solat di dalam kehidupan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, berlakunya peningkatan pelbagai masalah sosial mutakhir ini disebabkan orang ramai menjauhkan diri dalam melaksanakan rukun Islam kedua itu. 

"Dengan kehadiran kami ke rumah-rumah asnaf terpilih, mengingatkan solat wajib didirikan kerana ianya kunci kejayaan di dunia dan di akhirat, kehidupan kita akan sentiasa diberkati," katanya. 

Alias berkata demikian ketika menyampaikan Musaadah YADIM kepada salah sebuah rumah warga emas di Kampung Che Lijah di sini. 

Seramai 50 orang warga emas telah terpilih di dalam program kerjasama YADIM, badan bukan kerajaan (NGO), IHSAN Cakna dan Pusat Khidmat ADUN Rantau Abang itu. 

Alias (kiri) menyampaikan nasihat kepada seorang warga emas sambil diperhatikan Hadi(kanan) 

Sementara itu, Pengarah YADIM Terengganu, Nasrul Hadi Saiadin berkata, nilai diri manusia di sisi Allah adalah pada ketakwaan, bukan kemiskinan atau juga kekayaan seseorang. 

"Golongan kurang berkemampuan perlu juga dibantu kerana bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan tekanan hidupnya supaya dapat beribadah dengan sempurna," katanya. 

Menurutnya, golongan miskin pula seharusnya selalu hati-hati dan waspada terhadap kemiskinannya, keadaannya yang serba kekurangan dapat menggodanya untuk melakukan kemaksiatan untuk memenuhi keperluan hidupnya.

"Saya menyeru masyarakat untuk turut  bersama - sama YADIM Terengganu berlumba-lumba mengejar kebaikan.

"Boleh hubungi YADIM untuk sertai tabung infaq untuk membantu golongan memerlukan, "ujarnya. 


Tag: