• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

YADIM Peduli Pengusaha Bas dan Pekerja Pembersihan

KUALA NERUS, 16 Mac - Ekoran penutupan sekolah semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini, pengusaha bas sekolah di Kuala Nerus yang dihimpit kesusahan dan kekurangan pendapatan telah mendapat perhatian sewajarnya. 

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, prihatin dengan nasib mereka yang terkesan akibat penularan Covid-19, satu program kebajikan diadakan dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bagi menyalurkan sumbangan kepada golongan tersebut. 

Ali Ahmad, 59, salah seorang penerima bantuan terharu dengan keprihatinan pihak YADIM dan kerajaan terhadap pengusaha bas sekolah yang terjejas sejak pandemik itu melanda tahun lalu. 

"Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah kerana menghadirkan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan sentiasa mengambil cakna dengan kehidupan kami di sini. 

"Bagi kami, ia satu suntikan semangat untuk terus berbakti kepada masyarakat dalam menghantar anak didik ke sekolah," katanya ketika dihubungi pemberita.

Sebanyak 25 set bekalan makanan keperluan harian dan sejumlah wang tunai telah diagihkan kepada golongan tersebut. Pada masa sama, 60 orang pekerja kontraktor pembersihan di daerah Kuala Nerus turut menerima sumbangan dalam satu majlis ringkas di Dewan Serbaguna Kampung Baru, Seberang Takir.

Hadir menyerahkan sumbangan, Setiausaha Politiknya, Ustaz Kamal Nazmi Kamaruddin, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab dan Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Perkaderan, Kapten (B) Shamsuddin Moner dan Pengarah YADIM Terengganu, Ustaz Nasrul Saidin, .


Tag: