• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

YADIM Santuni 100 Asnaf  Di DUN Manir

 

Oleh: Ahmad Mawardi

HULU TERENGGANU, 31 Julai - Seramai 100 orang asnaf yang terkesan dengan penularan Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, menerima sumbangan (food basket) mengandungi barangan keperluan harian daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu, semalam.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, program yang berlandaskan dakwah itu mengajak kepada kebaikan dan kebajikan serta perkongsian rezeki secara bersama-sama.

"Ia suatu tugas yang harus dipikul dan bekerjasama dalam menjalankan gerakan dakwah dan membantu masyarakat.

"Program bantuan ini adalah tanda sokongan usaha dan keprihatinan agensi-agensi kerajaan kepada golongan asnaf dari usaha tanggungjawab sosial,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Manir  berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Program Yadim Peduli : Cuci-Cuci dan Musa’adah Pasca Covid-19 Terengganu di Dewan Tuan Guru Harun Taib Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah, Kubang Lembik, Manir. 

Majlis perasmian dan serta penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.
 
Turur hadir , Yang Dipertua YADIM,  Ustaz Nasruddin Hassan dan Ketua Pengawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Sementara itu, program ini dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan pembahagian peserta sebelum kerja mencuci dan sanitasi dimulakan, seterusnya diakhiri pembahagian bantuan PASCA Covid19 kepada asnaf.