• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Yakult Sasar Bawa Pemain Terengganu FC Ke Jepun

KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Pengeluar minuman probiotik terkemuka dunia, Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. menyasarkan untuk membawa sekurang-kurangnya seorang pemain muda Terengganu Football Club (Terengganu FC) berkelana ke Jepun musim ini. 

Pengarah Urusannya, Hiroshi Hamada memaklumkan, hasrat itu merupakan antara misi syarikat dalam kerjasama strategik dengan kelab-kelab bola sepak di Malaysia iaitu mengembangkan bakat-bakat muda.

"Walaupun berdepan kekangan Covid-19, kita menyasarkan untuk sekurang-kurangnya dapat membawa seorang pemain muda dari Terengganu FC bagi berlatih atau bermain di sana.

"Saya akui jumlah penajaan syarikat mungkin dilihat kecil tetapi hasil perbincangan bersama pengurusan Terengganu FC, mereka setuju dengan kerjasama strategik untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain muda mengembangkan bakat ke liga Jepun seperti Muhammad Hadi Fayyadh," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Menandatangani Kerjasama antara Yakult dan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, baru-baru ini.

Usahasama itu menyaksikan penajaan Yakult bernilai RM380 ribu disamping perancangan program-program pembangunan akar umbi secara bersama.

Selain membawa pemain-pemain ke Jepun, program pembangunan akar umbi akan turut melibatkan jurulatih-jurulatih dari Jepun untuk melatih bakat-bakat tempatan.

 


Tag: