• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Yayasan Darul Iman Bakal Miliki Aset Sendiri

KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Proses menaik taraf Tabung Darul Iman kepada Yayasan Darul Iman akan membolehkan tabung kebajikan untuk golongan B40  itu mempunyai pemilikan aset tersendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, setakat ini penubuhan Yayasan Darul Iman masih lagi dalam peringkat penubuhan dan ia akan melalui beberapa proses.

“Antaranya penetapan penjawatan pegawai dan kakitangan, penyelarasan dari segi kos pengurusan tahunan dan juga beberapa item yang memerlukan pengesahan dan kelulusan daripada agensi serta jabatan yang berkaitan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Sulaiman Sulong (PAS-Pengkalan Berangan) mengenai status terkini penubuhan Yayasan Darul Iman pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima DUN ke-14, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hanafiah berkata, selain membolehkan pemilikan aset sendiri, mengikut undang-undang sesebuah yayasan boleh membuat penawaran bagi mengalakkan penderma untuk menderma ke tabung yayasan seperti penawaran ‘return back’ dan rebat.

Tambah beliau, pengagihan dana bantuan Tabung Darul Iman tidak mempunyai wang segera, bantuan yang disalurkan buat masa sekarang tertakluk kepada tatacara kewangan kerajaan negeri, dengan tertubuhnya Yayasan Darul Iman bantuan akan dapat disalurkan dengan segera dengan adanya bantuan segera prihatin.

“Fungsi yang dijalankan oleh Tabung Darul Iman sekarang hanya tertumpu kepada dua jenis bantuan iaitu bantuan kepada rakyat yang ditimpa bencana dan musibah dan bantuan perubatan kepada pesakit kronik.

“Dengan tertubuhnya Yayasan Darul Iman, fungsinya dapat diperluaskan dengan lebih berfokus,” ujarnya bagi menjawab soalan tambahan Sulaiman mengenai rasional dan kelebihan naik taraf tabung berkenaan.

Tambah beliau, penubuhan Yayasan Darul Iman juga dapat mengurangkan karenah birokrasi tatacara kewangan, sekali gus bantuan dapat disalurkan dnegan lebih cepat kerana tidak tertakluk dengan tatacara kewangan kerajaan negeri.