• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia Disambut Baik

PUTRAJAYA, 15 Disember – Usaha kerajaan dalam melancarkan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia  sebagai sebuah badan berperanan membantu golongan mahasiswa yang memerlukan merupakan suatu usaha efektif dalam menjaga kebajikan golongan tersebut.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata ia merupakan suatu langkah bagi mengelakkan golongan terbabit terdesak untuk terlibat dalam kancah aktiviti yang tidak bermoral.

Sebagaimana negara pernah digemparkan  tentang keterlibatan mahasiswa dalam isu gejala 'sugar daddy' menerusi aplikasi 'Sugarbook' bagi membiayai kos sara hidup bagi meneruskan pengajian di universiti.

"Dimana kita pernah dikejutkan dengan isu ini sehinggakan tersebar satu poster berkenaan senarai top 10 universiti yang paling ramai pelajarnya mendaftarkan diri di aplikasi berkenaan.

"Saya kira dengan adanya yayasan yang ditubuhkan ini ia akan dapat membantu bagi membendung masalah yang berlaku ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian di Persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Dalam pada itu beliau turut menyarankan pihak kerajaan agar menitiberatkan isu mental yang dihadapi oleh penuntut universiti pada ketika ini.

"Sebanyak 223,990 panggilan talian bantuan sokongan psikososial diterima dan golongan ini tidak terkecuali turut memerlukan sokongan emosi dan kaunseling. Ia sangat penting untuk diatasi bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

"kerajaan perlu melakukan pelbagai usaha bagi memastikan lebih banyak sumber dana untuk yayasan ini bagi memastikan kelangsungan operasinya tidak tergendala akibat kekurangan dana," katanya.

Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melancarkan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia tersebut dimana penubuhannya adalah seiring prinsip kerajaan bagi memastikan tiada seorang penuntut yang akan tercicir atau terpinggir.

Dimana peruntukan dana permulaan RM5 juta turut diumumkan sebagai tanda sokongan pihak kerajaan bagi memastikan kelangsungan operasi serta matlamat penubuhannya tercapai.

Secara tidak langsung mempamerkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa seperti yang terkandung dalam Konsep Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

 

 


Tag: