• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Yayasan Terengganu Tawar Diskaun 15 Peratus Bayaran Pinjaman

KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) menawarkan diskaun sebanyak 15 peratus daripada jumlah baki pinjaman pendidikan kepada 21,000 peminjam mulai Julai depan.

Pengarah YT, Ishamudin Hashim berkata, diskaun selama lima bulan itu turut memberi manfaat kepada 5,000 peminjam yang dikenakan tindakan undang-undang.

“Tawaran itu diberikan kepada peminjam yang melunaskan bayaran secara sekali gus ia bagi menggalakkan orang ramai terus membayar hutang.

“Peminjam yang membuat bayaran pinjaman sahaja akan menerima diskaun yang ditawarkan.

“Bagi yang berhadapan dengan tindakan undang-undang, tawaran diskaun sebanyak 15 peratus hanya membabitkan baki pinjaman dan tidak termasuk kos lain, terutama kos guaman,” katanya sebagaimana dilapor Berita Harian hari ini.

Tambah beliau, inisiatif tersebut diambil selepas mendapati ada antara peminjam yang hilang mata pencarian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan mulai 18 Mac lalu.