• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

YDSM, Dinas Pendidikan Provinsi Sulawesi Selatan Jalin Kerjasama

Sultan Mizan ( tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara YDSM yang diwakili Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Dato’ Prof. Emeritus Dr. Abdul Rahman Embong manakala Dinas Pendidikan Provinsi Sulawesi Selatan diwakili Bapak Haji Ilman Yasin Limpo di Istana Syarqiyyah, hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail.

Satu lagi kerjasama strategik khususnya dalam bidang pendidikan
dicapai antara Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dan Dinas Pendidikan Provinsi Sulawesi Selatan hasil permeteraian memorandum persefahaman (MoU)di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, hari ini.

Pada upacara yang disaksikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin tersebut, YDSM diwakili Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Dato’ Prof. Emeritus Dr. Abdul Rahman Embong manakala Dinas Pendidikan Provinsi Sulawesi Selatan diwakili Bapak Haji Ilman Yasin Limpo.

Menurut Abdul Rahman, kerjasama itu adalah rentetan daripada hasil MoU antara kedua-dua pihak pada 2012 di Makassar bagi meningkatkan kerjasama pendidikan dari segi pengukuhan Bahasa Inggeris antara pelajar .

“Hasil MoU pertama itu, setiap tahun pelajar-pelajar dari sekolah di Sulawesi Selatan datang  ke Terengganu setiap kali YDSM mengadakan Program Pengukuhan Bahasa Inggeris Piala YDSM.

“Mereka diberi ruang untuk membuat persembahan, mengadakan aktiviti dan pertandingan dalam Bahasa Inggeris serta hadir di sekolah-sekolah terlibat yang secara tidak langsung memupuk semangat kerjasama antara kedua-dua pihak dan pada masa sama meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) itu sempena Majlis Penghargaan Untuk Tuan Yang Terutama Gabenor Provinsi Sulawesi Selatan dan Majlis Pengurniaan Hadiah Piala Yayasan Diraja Sultan Mizan 2017 di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, hari ini.

Sultan Mizan berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang.

Turut Hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail serta Gabenor Provinsi Sulawesi Selatan, Tuan Yang Terutama DR.H. Syahrul Yasin Limpo.

Abdul Rahman berkata, selepas lima tahun sekali lagi MoU dimeterai antara YDSM dan Dinas Pendidikan Provinsi Sulawesi Selatan bagi memperluaskan lagi jalinan kerjasama dalam bidang pendidikan antara kedua-dua pihak.

“Selepas lima tahun kita adakan kerjasama dan acara-acara juga sentiasa ditambah baik, menerusi MoU kali ini kita hendak tingkatkan lagi usahasama itu.

“Contohnya, melalui Program Pengukuhan Bahasa Inggeris, acara-acara yang dipertandingkan seperti ‘Smart English’, ‘Chorasical Sketch’ dan ‘Chain Story Telling’ serta Program Pengukuhan Bahasa Arab, bukan sahaja dapat berkongsi ilmu dan kreativiti di kalangan pelajar kita dan pelajar luar malah mereka juga mempunyai pengalaman yang sangat berharga yang dapat kita manfaatkan,” ujarnya.

Tag: