YPKT Bantu Tingkat Taraf Hidup Keluarga Kurang Berkemampuan

Oleh: Fatimah Din 

MARANG, 21 Februari- Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berperanan sebagai penghubung dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan B40 sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup keluarga yang kurang berkemampuan.

Pegawai YPKT Daerah Marang, Zainur Suhada Mamat berkata, YPKT adalah platform penghubung dan agensi pelaksana, bukan penyampai sumbangan kepada rakyat seperti Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Meskipun di bawah YPKT terdapat pinjaman Modal Jaya Diri untuk peniaga kecilan dan peruncit tetapi ia terhad dan terdapat syarat-syarat tertentu , selain turut melaksanakan pelbagai program untuk masyarakat. 

"Antaranya, terdapat akademik jahitan, kelas kemahiran untuk setiap peringkat seperti ibu tunggal, fisioterapi dan pengisian rohani untuk warga emas, program taklif (untuk pelajar sekolah), 'home manager'' dan sebagainya," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di pejabatnya di sini, baru - baru ini.

Menurutnya, YPKT juga turut melaksanakan program daripada kerajaan negeri seperti Walimatulurus Perdana dan Pakej Honeymoon Kali Kedua buat pasangan yang memerlukan masa untuk memperbaiki hubungan rumahtangga.

"Selain itu, di bawah YPKT juga turut terdapat taska serta kelas jahitan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN)," jelasnya.


Tag: