KUALA TERENGGANU, 10 September – Kerajaan Negeri di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan memberi tumpuan lebih besar terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan usahawan, khususnya usahawan kecil, mulai tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, penggunaan AI dilihat semakin penting dalam membantu usahawan memperkukuh strategi promosi dan pemasaran produk.
Menurutnya, perkembangan teknologi berkenaan tidak boleh diketepikan memandangkan AI mampu membantu menghasilkan bahan promosi yang lebih menarik dan berkesan.
"Kita tak dapat nafikan dan dalam masa akan datang, AI akan menjadi keutamaan kepada semua, terutama dalam aspek promosi," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Market Innovation Showcase 2026 dan Peluncuran Studio TikTok Shop Live di Hub Digital Niaga Terengganu, di Perkarangan Pusat Dagangan Terengganu, hari ini.
Jelasnya, teknologi Ai juga berupaya membantu usahawan menghasilkan kandungan visual yang lebih berkualiti, termasuk memperkemas gambar dan menghasilkan bahan kreatif untuk tujuan pemasaran.
Tambahnya, YPU ketika ini turut mempunyai pelbagai kursus berkaitan AI dan akan menggabungkan latihan yang dianjurkan bersama pihak berkaitan termasuk TikTok.
Ujar beliau, pendekatan itu bertujuan mempercepatkan penguasaan teknologi AI dalam kalangan usahawan tempatan supaya mereka mampu bersaing dalam ekonomi digital.
"Insya-Allah kami akan cuba fokus sekarang ni pun dah ada banyak kursus-kursus AI yang dibuat oleh pihak-pihak termasuklah YPU dan TikTok sendiri pun ada ruang yang tersebut.
"Jadi kita akan cuba gabung semua-semua ni untuk jadi yang terhebatlah untuk percepatkan," tambah beliau.
Dalam masa yang sama, Studio TikTok Shop Live di Hub Digital Niaga Terengganu mendapat sambutan menggalakkan apabila tempahan daripada usahawan kini mempunyai senarai menunggu.

Menurutnya, kemudahan tersebut mampu menampung sehingga enam usahawan sehari dengan setiap usahawan diberikan tempoh dua jam bagi sesi masing-masing.
“Sekarang ini dah queue dah, sebab tempat memang sangat-sangat ini, dah queue,” katanya.
Tambahnya, studio beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang pada hari bekerja.
"Selain studio berkenaan, ruang terbuka turut disediakan untuk affiliate creators dan usahawan menghasilkan kandungan video tanpa perlu membuat tempahan," tambah beliau lagi.
Kata Ariffin, pihaknya turut mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu operasi pada masa akan datang bagi memenuhi keperluan usahawan yang menjalankan sesi siaran langsung pada waktu malam.