• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

YPU Nafi Terlibat Sedia Geran Kepada Usahawan Melalui Pihak Ketiga

DR Khairi
Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) menafikan penglibatan dalam menyediakan geran kepada usahawan menerusi ejen atau pihak ketiga.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Khairi A Rahman, berkata agensinya menerima beberapa aduan berkaitan kewujudan tawaran geran atau dana untuk usahawan bagi syarikat Sdn. Bhd dan Enterprise yang dikaitkan dengan nama YPU serta mewajibkan keahlian pertubuhan politik.

"Modus operandi skim tersebut menyasarkan peniaga kecil dan syarikat baru yang mempunyai jumlah modal kecil. Dana ini dikatakan menjanjikan pulangan berkali kali ganda dalam tempoh tertentu.

Sehubungan itu, pengurusan YPU ingin menafikan  penglibatan YPU dalam pemberian geran atau dana itu kepada mana-mana pihak, malah YPU juga tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam skim seperti itu,"katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Khairi berkata, YPU juga menasihatkan usahawan,  peniaga atau orang ramai agar tidak terpengaruh dengan pelbagai perkara yang menyalahgunakan nama YPU, sebagaimana pemberian geran atau dana usahawan seperti yang dihebohkan itu.

Beliau juga menasihatkan orang ramai menyemak dengan pejabat YPU Terengganu di talian 09-6242424 terlebih dahulu, sekiranya didatangi, dihubungi atau penglibatan dalam penyediaan geran membabitkan nama YPU supaya tidak tertipu.

Tag: