• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ziarah MOSWAY Medium Dekati Masyarakat

KEMAMAN, 6 November - Menziarahi mereka yang miskin, Orang Kurang Upaya (OKU), sakit, warga emas, 'armalah' dan anak yatim (MOSWAY) menjadi salah satu medium bagi membantu dan mendekati golongan itu di Kijal.

Penolong Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Kijal, Maselah Mohamed berkata, ianya menjadi aktiviti harian kepada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang diseliakan oleh i-MiTS Kijal.

"Sebanyak 10 hingga 15 buah rumah dalam satu minggu pada setiap bulan disasarkan bagi tujuan itu di bawah seliaan i-MiTS di sekitar DUN Kijal dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Hazri Jusoh (tiga dari kiri) dan Maselah Mohamed (dua dari kiri).

"Di samping menghulurkan bantuan barangan dapur, kami juga dapat bertanya khabar tentang kesihatan dan masalah yang mereka hadapi," katanya.

Maselah yang juga Ketua Helwa DUN Kijal berkata demikian ketika dihubungi pemberita, kelmarin bagi mendapat gambaran sebenar mengenai MOSWAY. 

"Mungkin sumbangan itu tidak seberapa tetapi yang penting ianya juga bertujuan untuk membudayakan amalan ziarah-menziarahi sepertimana yang dianjurkan di dalam Islam," ucapnya.

"Kelmarin kita telah menziarahi tiga buah rumah di Kampung Tersusun Lubuk Lesung bersama MPKK di sana.

"Sebarang maklumat tentang MOSWAY yang mungkin terlepas pandang dan tercicir, saudara mara terdekat bolehlah memaklumkannya kepada MPKK di kampung masing-masing untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.

Turut hadir pada ziarah MOSWAY di kampung tersebut, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh bersama beberapa Pegawai i-MiTS dan MPKK kampung itu.


Tag: