• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Zikir Mathurat, Rutin Pagi Warga Dungun

DUNGUN, 18 Februari - Menjadi rutin setiap pagi kepada kebanyakan warga Dungun untuk membasah lidah dengan berzikir Al-Mathurat sebagai satu usaha untuk membendung penularan sekali gus membebas bumi ini daripada pandemik COVID-19. 

Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Parlimen Dungun, Jamaluddin Jusoh berharap, usaha yang dirasakan kecil itu dapat mendidik warga Dungun mendekatkan diri kepada Allah dan menjinakkan hati agar takut melakukan maksiat. 

"Virus Corona adalah makhluk Allah, yang Allah jadikan untuk memberi ingatan kerana maksiat sedang subur di dalam masyarakat, jadi tidak dapat tidak untuk mengatasinya, kita kembali kepada Allah," ujarnya. 

Jamaluddin berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah pendek sebelum dan selepas zikir Al-Mathurat dibaca beramai-ramai menerusi maya bermula 1 Februari lalu yang dianjurkan oleh i-MiTS Dungun.

Menurutnya, Al-Mathurat merupakan himpunan doa dan zikir yang menjadi amalan Baginda SAW dan sewajarnya menjadi amalan setiap orang Islam.

"Setiap jam 8.15pagi program ini bermula di saluran Google Meet yang kini sudah mencecah penyertaan lebih 100 orang, sebab itu kita buka pula ke saluran 'facebook'," katanya. 


Tag: