• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Zuraida Gesa Kerajaan Kuatkuasa Garis Panduan Pelancongan

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Pemerkasaan pelaksanaan syariah perlu ditingkatkan dalam usaha membina kefahaman pengunjung luar terhadap usaha Terengganu sebagai pemangkin Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor menyatakan kegusaran apabila sebahagian pelancong Muslim yang semakin berani melanggar Garis Panduan Pelancongan yang diwujudkan kerajaan negeri.

"Di sini terdapat dua kemungkinan samada, masih ramai tidak tahu akan kewujudan garis panduan pelancongan ataupun mereka tahu tetapi, semakin berani memakai pakaian mencolok mata dan melanggar batas kerana tiadanya penguatkuasaan," katanya ketika membahaskan Titah Diraja dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15, di sini hari ini.

Tegasnya, kerajaan negeri melalui agensi terlibat perlu mengambil inisiatif lebih agresif dalam memperkasakan Garis Panduan Pelancongan yang telah dilancarkan bersama Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan Negeri Terengganu.

"Besar harapan saya agar pemantauan dilaksanakan di semua agensi dan jabatan kerajaan.

"Saya yakin ini termasuk manifestasi dakwah Islamiah dan komitmen kerajaan dalam menuju Negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," katanya.


Tag: