• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Nasib Ibu Tunggal 'Dianiaya' Bekas Suami Terbela

KUALA TERENGGANU, 28 April - Nasib 31 ibu tunggal yang teraniaya akibat bekas suami tidak membayar nafkah, terbela hari ini apabila mereka menerima Dana Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd Hakim, berkata untuk itu Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM62,500 di bawah asnaf miskin.

Katanya, golongan terbabit tidak mampu meneruskan kelangsungan hidup dan menyara kehidupan anak dengan pendapatan sedia ada setelah bekas suami cuai menjalankan tanggungjawab.

"Terutama setelah berkahwin lain, lelaki tersebut lebih menumpukan perhatian untuk menjaga anak dan isteri baru. 

"Selain itu antara faktor yang menyebabkan bekas suami tidak mampu membayar nafkah ialah tidak mempunyai pendapatan tetap," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Anak Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, di Sumai Garden Hall, Sumai Hotel Apartment, di sini, pada hari ini.

Untuk rekod, sebagai komitmen yang berterusan, MAIDAM juga telah bersetuju meluluskan Bantuan Pendahuluan Nafkah kepada Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu sebanyak RM200,000 melalui peruntukkan asnaf miskin.

Mengulas lebih lanjut, Wan Mohd Zakri berkata, mengikut statistik dari tahun 2019 sehingga kini seramai 1,616 bekas suami berhadapan tuntutan nafkah anak.

"Sebelum ini telah ada peruntukan supaya mana-mana suami yang gagal melunaskan tuntutan boleh dipenjarakan tetapi ia tidak memberi kesan yang baik.

"Terbaharu melalui satu prosiding, pihak mahkamah syariah telah mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan bank membekukan sejumlah wang yang ada dalam akaun.

"Termasuk bank Tabung Haji digunakan untuk dibayar kepada anak-anak mereka mengikut jumlah yang ditetapkan oleh mahkamah syariah, itu perkembangan terkini," ujarnya.

Sementara itu, Shaikh Harun memberi jaminan pihaknya akan cuba memastikan pungutan zakat melalui Kumpulan Wang Amanah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Terengganu akan terus dikekalkan untuk diagihkan kepada ibu-ibu dan anak-anak yang mengalami masalah tunggakan nafkah.

"Isu pengabaian nafkah ini walaupun nyata adalah tanggungjawab para bapa atau suami, ia tidak semudah kita bercakap kerana ia melibatkan aspek kemampuan kewangan sehingga ramai yang dipenjarakan akibat ingkar perintah mahkamah.

"Jadi disinilah wujudnya peranan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dan MAIDAM untuk menyalurkan bantuan kepada yang layak," katanya.

Beliau berharap agar penerima bantuan menggunakannya dengan sebaik mungkin dan memanfaatkannya untuk membeli keperluan anak-anak.