• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

TDM Catat Pertumbuhan 3 Peratus Suku Pertama 2020

KUALA TERENGGANU, 30 Jun - TDM Berhad mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak tiga peratus bagi suku pertama 2020 yang berakhir pada 31 Mac 2020.

Pengerusi TDM, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, pertumbuhan itu disumbangkan oleh kedua-dua bahagian Perladangan dan Penjagaan Kesihatan iaitu sebanyak RM107.8 juta, berbanding RM104.7 juta berbanding suku sebelumnya.

"Pada suku pertama tahun ini, perniagaan Perladangan mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi iaitu sebanyak tiga peratus terutamanya disebabkan oleh harga purata minyak sawit mentah (CPO) dan Isirong Sawit (PK) yang lebih tinggi.

"Sementara itu, perniagaan Penjagaan Kesihatan kami terus menunjukkan pendapatan yang lebih tinggi pada suku tersebut dengan kenaikan pendapatan sebanyak tiga peratus yang disumbangkan oleh pendapatan purata yang lebih tinggi bagi setiap pesakit iaitu sebanyak enam peratus kepada RM7,142 berbanding tahun sebelumnya.

"Peningkatan ini juga disumbangkan oleh peningkatan jumlah katil operasi sebanyak dua peratus dan pembukaan Cath Lab sejak Mac 2019," katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Bagaimanapun, tambahnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai 18 Mac 2020, mengakibatkan jumlah pesakit yang lebih rendah ke hospital Kumpulan tersebut.

"Untuk itu, hospital kami telah membuat persediaan dan persiapan yang relevan iaitu menanggung perbelanjaan tambahan untuk alat ujian COVID-19, peralatan perlindungan diri untuk pelapik depan dan barang pakai buang yang lain," katanya.

Menurutnya, Kumpulan optimis dan akan terus memberi tumpuan dalam meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan kos pengeluaran yang disokong oleh asas-asas jangka panjang.

"Kami amat komited di mana kemampanan dan persijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) telah membolehkan kami menikmati premium yang lebih baik daripada penjualan Forum Pensijilan Mapan Minyak Sawit (CSPO) dan Minyak Tempurung Sawit Lestari Diperakui (CSPK) kami," ujarnya.