• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

100 Peserta Gotong Royong Bersih Pantai Teluk Lipat Anjuran Pemuda PAS


Peserta yang mengikuti gotong royong anjura  Pemuda PAS.

Dewan Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura menganjurkan satu program gotong-royong membersihkan Pantai Teluk Lipat, semalam sebagai usaha untuk mengekalkan kebersihan dan keindahan di sepanjang pantai tersebut.

Ahmad Mukrim Adnan

Ketua Pemudanya, Ahmad Mukrim Adnan berkata, program tersebut diadakan bagi menyedarkan orang ramai yang masih tidak mempunyai tahap kesedaran yang tinggi berkenaan kepentingan untuk menjaga kebersihan di kawasan tumpuan orang ramai.

Menurutnya, sikap sedemikian menjadikan pemandangan di sepanjang  pantai yang menjadi tempat tumpuan orang ramai dipenuhi dengan sampah sarap yang dibuang secara sengaja oleh sesetengah individu yang mengunjungi pantai tersebut.

"Tahap kesedaran orang ramai mengenai kebersihan masih rendah berikutan wujud segelintir individu yang tidak berdisplin menjaga kebersihan persekitaran walaupun di halaman rumah sendiri.

"Sikap sebegini yang menjadikan kawasan yang dahulunya bersih dan cantik sudah menjadi tercemar dengan timbunan sampah dan sikap sebegini yang kita tidak mahu ada di dalam masyarakat kita, " katanya.

Ahmad Mukrim berkata, program yang bermula pada jam 5 petang disertai 100 peserta di kalangan penduduk Sura.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pegawai Khas Adun Kawasan Sura ,  Faqrukhairi Nagmuddin, isteri kepada Ahli Parlimen Dungun, Siti Zaliha Mohamad dan Pengerusi J3K Cawangan Kampung Jalan Melati,  Azahar Mohammad.

Sebahagian peserta sedang mengutip sampah di pantai tersebut.

 Katanya, program tersebut diadakan sebagai tanda sokongan terhadap Kempen Terengganu Bersih yang turut disokong oleh Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Kami akan sentiasa menyokong dan membantu kerajaan negeri demi memastikan negeri Terengganu sentiasa dalam keadaan terbaik, "

"Kerajaan negeri amat serius dalam isu kebersihan dan mengharapkan kempen ini dapat menyedarkan orang awam tentang tanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar,"katanya.


Sementara itu seorang peserta  Abdul Muhaimin Abdul Razak, 30,  berkata dia menyokong penuh kempen Terengganu Bersih yang telah dilancarkan ini  kerana secara tidak langsung dapat memupuk sikap  untuk menjaga kebersihan ini bermula dari peringkat kanak - kanak itu sendiri.

"Saya menyokong penuh kempen yang diadakan ini kerana negeri ini dikenali mempunyai jajaran pantai yang cantik namun ianya memerlukan perhatian dari segi kebersihan oleh kerana sikap sesetengah masyarakat yang tidak tahu menjaga kebersihan dan semoga dengan kempen ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa pantai kita, kitalah yang perlu menjaganya, " katanya.

Pada akhir program tersebut sebanyak 200 kilogram sampah pelbagai jenis telah berjaya dikumpul dan secara umumnya objektif penganjuran gotong - royong tersebut telah berjaya dicapai dengan kehadiran peserta dalam program tersebut.

Sebahagian sampah sarap yang berjaya dikumpul oleh peserta program.

Menurut Ahmad Mukrim,  pihaknya merancang untuk mengadakan lebih banyak program sebegini sebagai tanda sokongan terhadap kempen Terengganu Bersih dan ianya akan digerakkan di seluruh negeri dalam mewujudkan kesedaran berkenaan kepentingan kebersihan di kalangan masyarakat.

Tag: