• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

113 Peserta RTB Bukit Besi Terima Borang 5A

DUNGUN, 2 November- Seramai 113 orang peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi telah menerima pemberian Borang 5A.

Seramai 51 orang daripada jumlah berkenaan merupakan mereka yang dikategorikan sebagai 'peserta tanah terkilan' bagi RTB Pinang Luit Mukim Jerangau, 54 orang merupakan RTB Chemuak Sejahtera bagi tapak perumahan serta 8 peserta bagi RTB Kampung Talong.

Seorang penerima, Zainal Abidin Mat Hassan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengotakan janji.

"Sebagaimana yang telah dimaklumkan apabila kerajaan PAS membentuk kerajaan negeri antara manifesto yang dijanjikan ialah menyelesaikan semula tanah yang tidak sempat diberikan geran ketika era PAS memerintah pada 1999-2004.

"Alhamdulillah saya rasa legalah apabila ianya kembali dicaknai dan membolehkan saya untuk menerima Borang 5A dan perlu menjelaskan premium dengan kadar segera bagi mendapatkan geran kekal," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Majlis Penyerahan Borang 5A bagi RTB Terkilan Pinang Luit, RTB Tapak Rumah Chemuak Sejahtera yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli di Dewan Sivik Jerangau, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

Sementara itu, peserta RTB Chemuak Sejahtera, Nurul Hikmah Zameli berkata sangat gembira apabila layak mendapat borang berkenaan

"Selepas tahu layak dapat RTB ini memang sangat gembira kerana  sebelum ini masih belum memiliki tanah jadinya selepas ini dapat duduk di kampung sendiri setelah berpindah kerja dimana  sebelum ini kerja di Kuala Lumpur.

"Sebagai generasi kedua memang saya berhajat untuk memiliki kediaman sendiri, jadi sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri, selepas ini saya akan bayarlah premium," ujarnya.

Dalam pada itu, Ghazali Sulaiman berharap agar setiap peserta yang telah menerima borang 5A berkenaan memanfatkan sebaik mungkin pemberian berkenaan.

"serta saya mengharapkan agar premium sebagaimana yang dinyatakan diselesaikan mengikut tempoh yang telah diberikan,"ujarnya.

 


Tag: