• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

130 Pendaki Sahut Cabaran Rukah Bukit Apu


Oleh : Ariss Alias 

SETIU - Seramai 130 peserta berjaya menyahut cabaran mendaki Bukit Apu sempena program Jom Rukah Bukit Apu bersama Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap merangkap Pengarah Majlis Tindakan Daerah (MTD) DUN Langkap Azmi Maarof, pada 30 September.

Objektif program bagi memberi peluang kepada para peserta pengalaman menjalani aktiviti luar seperti mendaki bukit dan meningkatkan jati diri peserta untuk tidak mudah mengalah dalam mengharungi apa jua keadaan.

Peserta dilihat teruja dapat mendaki bersama Pegawai Penyelaras DUN Langkap dan menawan puncak Bukit Apu yang bertinggian 200 meter dari paras laut.

Azmi  berkata program dianjurkan untuk memperkenalkan Bukit Apu sebagai destinasi aktiviti 'hiking' dan 'jungle trekking' kepada warga tempatan dan warga luar.

"Aktiviti ini amat sesuai untuk semua golongan dan program ini telah menerima peserta bermula usia lima sehingga 58 tahun yang terdiri daripada warga Kampung Rahmat, Chalok Kedai, Permaisuri dan Jabi.

"Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua peserta yang berjaya menamatkan cabaran, InsyaAllah kita akan meneruskan program seperti ini di maa depan," tambah beliau lagi.


Turut serta, Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Arman Nulamir Ab Wahab, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Rahmat Nordin Hamid; Pengerusi MPKK Sri Rahmat Nordin Jusoh dan Pengerusi MPKK Banggol Setar, Halim Muda.

Azmi turut sempat menyampaikan hadiah berupa hamper kepada 10 pemenang cabutan bertuah.

Program anjuran Pemuda PAS Kampung Rahmat itu berjaya dilaksanakan tanpa sebarang kecederaan dan kemalangan di kalangan peserta.




Tag: