• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

138 Pemilik Terima Kunci Rumah Taman Kertih Sri Gemilang 2

KEMAMAN, 8 Disember - Seramai 138 pemohon menerima kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Taman Kerteh Sri Gemilang 2, Kerteh di sini hari ini.

RMM ini merupakan salah satu projek bermasalah yang menjadi rumah penswastaan pertama di bawah kerajaan negeri dan berjaya diselesaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata pembiayaan RMM itu ditanggung sepenuhnya oleh pemaju, dan pembeli hanya perlu membuat bayaran setelah segala proses perumahan itu siap sepenuhnya.

"Yang ni peruntukan daripada pemaju 100 peratus, kita hanya beri tanah sahaja bawah tabung warisan dan untung pun tidak banyak.

"Kelulusan masuk tapak pada 2016, selepas berunding secara muhibbah dan alhamdulillah pihak pemaju ambil tindakan dan siapkan dalam tempoh yang dijanjikan," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penyerahan kunci RMM terbabit hari ini.

Menurut Dr Alias, rumah teres berharga RM73 hingga RM80 ribu setiap satu itu yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Sementara itu, menyifatkan penerimaan kunci rumah hari ini sebagai rezeki, Che Yam Sri Che Sulaiman, 36, salah seorang penerima RMM tidak dapat menyembunyikan perasaan terharunya.

Che Yam yang bekerja juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kerteh berkata, dia memohon rumah tersebut sejak 2011 lagi dan tidak menyangka menjadi salah seorang daripada pemilik 138 unit rumah yang dibina.

“Saya memang tak sangka, bersyukur sangat dapat rumah ini kerana ini rezeki saya, isteri dan lima anak kami.

"Memang susah nak dapat dan selama lima tahun pertama saya mengharap kelulusan tetapi selepas itu, saya tidak lagi meletakkan sepenuhnya pengharapan yang ia akan berjaya," ujarnya.

Bagi Rohaizan Abd Manan, 38, hari ini merupakan detik bersejarah baginya dan suami setelah menunggu hampir 10 tahun sejak 2010.

"Memang sangat berharap dapat rumah sendiri sebab dah lama menyewa.Memang tak sabar nak berpindah lepas ni," katanya.

Untuk rekod, satu lagi projek penswastaan bawah kerajaan iaitu RMM Padang Setengga kini dalam proses akhir disiapkan setelah mengalami pelbagai masalah.


Tag: