• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

151 Taska Di Terengganu Kembali Beroperasi, Utamakan Anak Frontliners

KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Sebanyak 151 buah taman asuhan kanak-kanak (Taska) milik kerajaan negeri dan swasta di Terengganu kembali beroperasi hari ini, selepas ia ditutup sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, ianya melibatkan 64 buah Taska Permata Keluarga dibawah kendalian Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan selebihnya milik pengusaha swasta.

“Keseluruhan taska YPKT yang dibuka hari ini adalah sebanyak 64 daripada 67 buah dimana bakinya akan dibuka dalam masa terdekat disebabkan masalah teknikal, manakala taska swasta pula sebanyak 87 buah.

"Setakat ini yang masih belum dibuka ialah Taska Perpaduan dan juga TASKA Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang dijangka dibuka semula 1 Julai ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Taska Permata Keluarga Kuala Terengganu di Jalan Sultan Omar, hari ini.

Katanya, daripada segi bilangan guru di YPKT pula, terdapat seramai 818 orang termasuk pembantu manakala anak-anak yang berdaftar di YPKT pada tahun ini adalah seramai 4,400 orang daripada 3,561 keluarga.
"Bagaimanapun hari ini, hanya 718 kanak-kanak diterima masuk selepas perbincangan bersama ibu bapa dengan keutamaan diberikan kepada ibu bapa yang perlu bekerja secara berpasangan serentak dan tiada penjaga,"ujarnya..

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, bagi mematuhi kehendak prosedur operasi standard (SOP) dan panduan pencegahan penularan COVID-19 pasca Perintah Kawalan Pergerakan bagi keselamatan warga Taska, keutamaan kepada ibu bapa bagi penghantaran anak ke taska diberikan kepada petugas barisan hadapan (frontliners).

"Seperti petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Bomba dan penyelamat dan seumpamanya.

“Juga kepada ibu bapa penjaga kanak-kanak (dwi kerjaya) yang bekeperluan keluar untuk ke tempat kerja secara serentak,” ujarnya.

Katanya, kesemua taska yang beroperasi itu menyediakan beberapa SOP termasuk perlu mengisi borang akujanji serta akuan pengistiharan kesihatan kanak-kanak yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat pemantauan setiap hari terhadap taska yang mula beroperasi dimana satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk memastikan pengusaha taska mematuhi SOP ditetapkan,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan para ibu bapa agar mematuhi segala SOP yang ditetapkan agar anak-anak sentiasa dalam keadaan selamat sepanjang berada di bawah jagaan pihak taska.