• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

1,573 Pelajar B40 Terima Bantuan Persekolahan

KUALA TERENGGANU, 14 Februari – Seramai 1,573 individu daripada keluarga kurang berkemampuan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk menerima bantuan awal persekolahan hari ini. 

Bantuan tersebut merupakan inisiatif daripada Kerajaan Terengganu bagi meringankan beban rakyat khususnya ibu bapa dalam membuat persiapan buat anak-anak mereka untuk sesi persekolahan akan datang. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi telah hadir bagi menyempurnakan perasmian majlis agihan tersebut yang diadakan di Dewan Kenanga Terengganu Equestarian Resort (TER). 

“Agihan bantuan ini merupakan duit rakyat, kita kembalikan kepada rakyat untuk dimanfaatkan oleh mereka yang layak khususnya dalam konteks program hari ini iaitu anak-anak bersekolah.

“Tidak dinafikan di sana ada beberapa kelemahan daripada pihak kerajaan, namun kita sentiasa berusaha untuk menambah baik dari semasa ke semasa,” kata Dr. Muhammad Khalil dalam ucapan perasmiannya. 

Menurut beliau lagi, inisiatif-inisiatif yang berterusan daripada Kerajaan Negeri Terengganu menunjukkan bahawa kerajaan serius dalam menjaga kebajikan rakyat. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) yang telah menguruskan agihan bantuan ini dengan lancar,” tambahnya lagi. 

Antara kelengkapan yang diterima ialah sepasang pakaian sekolah, kasut dan beg sekolah.