160 Peserta Sertai Kejohanan Badminton Dungun

DUNGUN, 16 Februari - Seramai 160 peserta yang terdiri daripada 80 regu telah menyertai Kejohanan Badminton Tertutup Dungun dan Jemputan 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Dungun, baru-baru ini.

Kejohanan anjuran Persatuan Badminton Dungun (PBD) dengan kerjasama Kelab Proaktif BC itu mempertandingkan dua kategori iaitu Kategori B+C dan Kategori Bakat Baru.

Presiden PBD, Aniss Azizee Md Alwi berkata, kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform untuk atlet tempatan menunjukkan bakat, malah turut memupuk semangat persaingan yang sihat dalam kalangan masyarakat.

“Kami amat gembira dengan sambutan yang sangat positif daripada masyarakat tempatan terhadap kejohanan ini. Ia bukan sahaja menggalakkan sukan badminton, malah mengeratkan hubungan sesama komuniti.

“Diharapkan kejohanan ini dapat dijadikan acara tahunan bagi menarik lebih ramai individu untuk menyertai aktiviti sukan dan mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya selepas kejohanan.

Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Dungun, Mohd Amin Hamid yang merasmikan acara perasmian penutup serta penyampaian hadiah kepada pemenang.

Acara ini turut menyaksikan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur, sekali gus membuktikan minat yang tinggi terhadap sukan badminton dalam komuniti setempat.

Dalam kejohanan terbabit, regu daripada FLY Badminton Club Dungun dan Hazwan Badminton Training muncul juara dalam Kategori B+C dan Kategori Bakat Baru.

 


Tag: