240 Lembu, Kambing Dikorbankan Di Maahad Darul Quran Rusila

MARANG, 9 Jun - Maahad Darul Quran Rusila sekali lagi mencatat sejarah apabila berjaya melaksanakan Program Korban Perdana sempena Aidiladha tahun ini dengan penyertaan luar biasa, melibatkan 240 ekor haiwan korban terdiri daripada 70 ekor lembu dan 170 ekor kambing.

Program tahunan yang menjadi tradisi institusi itu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat dan luar, dengan penyertaan peserta dari pelbagai latar belakang yang ingin menunaikan ibadah korban sambil menyumbang kepada kebajikan pelajar dan komuniti.

Menurut Mudir Maahad tersebut, Ismail Osman berkata, daging korban yang diperoleh akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar Maahad sepanjang tahun, selain diagihkan kepada golongan memerlukan di sekitar kawasan Marang dan sekitarnya.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh peserta yang menyertai korban tahun ini. Dagingnya akan disimpan untuk kegunaan pelajar dan sebahagiannya disumbangkan kepada yang memerlukan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang datang dari pelbagai kampung dan kawasan, yang bertungkus-lumus menjayakan program besar ini.

“Mudah-mudahan ibadah kita diterima Allah SWT dan diberi keberkatan untuk kita semua,” ujarnya ketika berucap di majlis berkenaan.

Katanya, program sebegini bukan sahaja memperkukuhkan semangat ukhuwah dalam kalangan masyarakat, malah menjadi platform pendidikan praktikal kepada pelajar dalam memahami dan menghayati erti pengorbanan serta kepentingan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

"Dengan kejayaan penganjuran tahun ini, Maahad Darul Quran Rusila terus membuktikan komitmennya dalam mendidik generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu agama, tetapi juga peka terhadap tanggungjawab sosial dan kebajikan masyarakat," ujarnya.


Tag: