• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

25 OKP Tamat Program Reward Kepulihan Penyalahgunaan Dadah

KUALA NERUS, 4 September - Seramai 25 orang kena pengawasan (OKP) tamat Program Reward Kepulihan Penyalahgunaan Dadah di Pulau Redang di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Hulu Terengganu, Ustaz Maliaman Kassim berkata, program ini merupakan salah satu ganjaran untuk OKP yang berjaya dalam kepulihan penyalahgunaan dadah.

Katanya lagi, ia turut melatih mereka untuk menjadi fasilitator kepada OKP lain dan dalam masa yang sama mengeratkan hubungan antara mereka. 

“Selama tiga hari ini, mereka yang juga OKP menjalankan pelbagai aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan.

“Mereka dikejutkan pada jam 5 pagi untuk bersiap solat subuh dan seterusnya kuliah Subuh serta sesi dialog bagi mereka meluahkan apa yang terbuku di hati dan aktiviti ini mendapat kerjasama sepenuhnya.

“Selain itu melatih untuk menjadi seorang fasilitator dalam kalangan OKP akan menjadi ikon penggerak dalam merangka dan melaksanakan program keagamaan yang melibatkan OKP lain untuk meninggalkan tabiat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Ajil berkata demikian pada Program Reward Kepulihan Penyalahgunaan Dadah yang berlangsung selama 3 hari 2 malam di Pulau Redang.

Pada program itu, pelbagai aktiviti diadakan seperti solat fardu berjemaah, penyampaian mesej antidadah dan aktiviti snorkeling.

Tambah beliau lagi, lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan diperlukan untuk tampil membantu klien atau orang kena pengawasan (OKP) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang memerlukan sokongan di negeri ini.

“Dengan bantuan dari luar seperti ini, ia bukan sahaja membantu menyuntik semangat mereka untuk berjaya dalam kepulihan tetapi juga memberi semangat kepada ahli keluarga OKP itu sendiri,” katanya.