• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

26,000 Liter Air Mineral Dihantar Ke Selangor

 

KUALA TERENGGANU, 23 Oktober – Terengganu akan menghantar sumbangan minuman air bersih kepada rakyat Selangor yang terjejas kerana masalah gangguan bekalan air di negeri itu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya mengikuti perkembangan isu gangguan bekalan air itu di Selangor.

Ini kerana, katanya masalah itu bukan sahaja menjejaskan pelbagai sektor di negeri berkenaan tetapi keperluan harian rakyat.

“Ini menjadi sesuatu yang sangat kritikal dan memerlukan bantuan. Maka, kerana itu di pihak kita (Terengganu) telah mengaturkan dengan kerjasama beberapa Badan Bukan kerajaan (NGO).

“Mereka (NGO), yang sangat prihatin berhubung dengan perkembangan yang berlaku di Selangor dan keperluan rakyat Selangor secara khususnya,” ujarnya selepas mengadakan perbincangan dengan wakil NGO Iman Care, di Kampung Losong Megat Husin, Kuala Terengganu, semalam.

Beliau selaku Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Terengganu menjelaskan, sebanyak 17,000 botol air mineral isipadu 1.5 liter akan dihantar ke Selangor.

“Insya-Allah, NGO seperti Iman Care dan ahli perniagaan seperti SABASUN HyperRuncit turut bekerjasama dengan kami di Parlimen Kuala Terengganu. 

“Kita sedang mengaturkan penghantaran air minuman bersih sebanyak 26,000 liter atau 17,600 botol air mineral 1.5 liter dengan treler. Insya-Allah, akan tiba penghantaran itu di Selangor pada hari Sabtu ini,” jelasnya. 

Menurutnya, bantuan bekalan air itu akan diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang.

“Saya berharap dan bersimpati dengan masalah air di Selangor ini dan semoga dapat diselesaikan dengan segera. 

“Sumbangan dan bantuan bekalan air itu akan diserahkan kepada pimpinan PAS Selangor iaitu Pesuruhjaya PAS Selangor, untuk diagihkan kepada rakyat yang terjejas masalah air,” ujarnya.

Menurut Ahmad Amzad, pihaknya akan menghantar wakil Ahli Parlimen Kuala Terengganu bersama wakil NGO Iman Care, Wan Mohd Ikhwan Wan Ariff.


Tag:

Artikel Berkaitan