• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

300 Anak Pokok Ditanam Di Hutan Simpan Tembat

Penolong Pengarah Kanan (Pembangunan) JPNT, Nor Lokman Muhamad Nor@Fakru, menanam anak pokok sebagai gimik program di PL7 Hutan Simpan Tembat, hari ini.


HULU TERENGGANU - Fasa terakhir bagi memperkasakan kempen Inisiatif Hijau sempena penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean ke-9 (KL2017), di beberapa kawasan di bawah Pelan Induk Rangkaian Koridor Ekologi Central Forest Spine (CFS) bermula September ini sehingga Februari depan melibatkan sejumlah 1,670 anak pokok.

Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) mendahului aktiviti menanam anak pokok di kawasan PL7 Hutan Simpan Tembat, Greater Taman Negara, Terengganu yang turut dijayakan Landskap Malaysia, sebagai Rakan Inisiatif Hijau manakala SCGM Berhad (Rakan Hijau Rasmi) dan Tenaga Nasional Berhad pula adalah penaja bersama program ini.

Penolong Pengarah Kanan (Pembangunan) JPNT, Nor Lokman Muhamad Nor@Fakru berkata, program itu merupakan kesinambungan dari program penanaman pokok bersama pemenang pingat emas Malaysia yang dilancarkan pada 2 November 2017.

"Ini merupakan fasa keempat dan pada kali ini melibatkan baki 5,010 pokok yang akan ditanam di beberapa kawasan CFS dan melibatkan tiga buah negeri iaitu Kelantan, Perak dan juga Terengganu.

"Program pada kali ini menyaksikan 1,670 pokok bakal ditanam di kawasan Hutan Simpan Tembat dengan permulaan pada hari ini adalah sebanyak 300 pokok.

"Antara pokok yang ditanam adalah Parkia speciosa a(Petai), Sandoricum koetjape (Sentul), Syzygium jambos(Jambu Mawar), Pangium edule(Kepayang) dan pelbagai lagi  yang dibahagikan kepada tiga fasa penanaman iaitu bulan September, Oktober dan Februari 2018," katanya kepada pemberita di program penanaman pokok ' 1 Pingat, 1 Pokok' di Kuala Berang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Landskap Malaysia, Dr. Tajang Jinggut dan hampir 150 sukarelawan.

Nor Lokman berkata, anak-anak pokok ini akan ditanam di bawah viaduct atau jejambat yang dibina untuk membolehkan hidupan liar merentasi kawasan hutan tersebut dengan selamat.

"Kawasan ini merupakan koridor ekologi penting yang menyaksikan pergerakan lintasan yang tinggi bagi haiwan liar seperti gajah dan harimau.

"Secara ringkasnya, CFS merupakan satu pelan jangka panjang yang bertujuan untuk memelihara, memulihara dan meningkatkan penyambungan koridor ekologi di antara empat kompleks hutan utama yang terpisah di Semenanjung," ujarnya.



Tag: