• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

300 Sertai Konvoi Amal Merdeka 2018

Peserta konvoi menuju ke beberapa tempat persinggahan termasuk Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Baitul Sakinah, Taman Sinar Harapan dan Rumah Sejahtera Taman Bahagia. Foto - Abu Ubaidah
Oleh: Syaharulhafizi Shamsudin

MARANG - Seramai 300 peserta dari seluruh Negeri Terengganu menyertai Konvoi Amal Merdeka 2018 yang berlangsung semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, konvoi ini diadakan sambil memberikan sumbangan  pengurusan sebanyak RM5,000 dan plat di setiap tempat persinggahan.

“Konvoi yang bukan hanya sekadar menunggang motor, tetapi sambil beramal.

"Saya mengharapkan agar program sebegini yang memberi manfaat kepada orang ramai terutamanya orang yang memerlukan dan anak yatim diteruskan lagi pada masa akan datang,” ujarnya.

Ustaz Mohd Nor Hamzah (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pihak pengurusan Asrama Darul Falah.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Konvoi Amal Merdeka 2018 di Asrama Anak Yatim Darul Falah, Bukit Payung, semalam (11 September).

Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung turut menyampaikan sumbangan pengurusan tersebut kepada pihak Pengurusan Asrama Anak Yatim Darul Falah.

Konvoi Amal Merdeka 2018 dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Alternative Riding Club (ARC) Terengganu.

Konvoi tersebut bertolak dari Taman Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu sehingga ke Asrama Anak Yatim Darul Falah.

Sepanjang konvoi itu, terdapat beberapa tempat persinggahan termasuk Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Baitul Sakinah, Taman Sinar Harapan dan Rumah Sejahtera Taman Bahagia.


Konvoi yang bertolak jam 9 pagi dan selamat tiba persinggahan terakhir pada jam 12 tengah hari.

Tag: