• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

500 Sukarelawan Kadim Jadi Duta Kecil Promosi Terengganu

Tun Faisal bersama Dr. Tengku Asmadi dan Zain Azrai memotong riben belon sebelum melepaskan sukarelawan ke kawasan yang telah ditetapkan. Foto oleh Harish Fadzillah Kassim.

Lebih 500 rakyat Terengganu yang berada di sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur dijadikan sebagai duta kecil dalam mempromosikan Visit Beautiful Terengganu 2017 sempena kejohanan Sukan SEA yang sedang berlangsung.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata program yang dijalankan tersebut adalah hasil idea yang dicetuskan oleh Kelab Anak Darul Iman Malaysia (Kadim) yang berada di sekitar Lembah Klang.

Katanya, sukarelawan tersebut akan menjadi duta kecil bagi mengedarkan risalah serta bahan promosi kepada pengunjung yang ke Kuala Lumpur terutamanya sempena Sukan SEA.

Tun Faisal
"Kuala Lumpur akan menjadi tumpuan ramai pengunjung ketika ini dan duta-duta kecil dari Kadim akan memanfaatkannya untuk menggerakkan promosi Visit Beautiful Terengganu 2017.

"Jadi urusetia telah mengaturkan untuk membawa pasukan-pasukan yang terdiri dari 500 sukarelawan ke lebih 30 lokasi di sekitar Kuala Lumpur diantaranya merupakan pusat membeli belah dan juga tempat-tempat yang umumnya menjadi tumpuan pengunjung dan mereka akan mengedarkan risalah-risalah Visit Beautiful Terengganu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian dan Pelepasan Visit Beautiful Terengganu  2017 Sempena Sukan SEA di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur, hari ini.


Pengerusi Kadim, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad dan Pengarah MATIC, Zain Azrai Rashid.

Dalam pada itu, Tengku Asmadi berkata Kadim dianggotai lebih dari 6,000 ahli sejak ditubuhkan namun bagi program tersebut hanya lebih dari 500 ahli yang dijadikan sebagai duta kecil untuk mempromosikan Visit Beautiful Terengganu.

Katanya, perancangan untuk melakukan program tersebut adalah dalam satu jangka masa yang singkat dan ianya mendapat sambutan menggalakkan daripada ahli Kadim.

Dr. Tengku Asmadi

"Kita hanya lakukan perancangan untuk turut mempromosikan Visit Beautiful Terengganu semasa Sukan SEA pada tiga minggu lepas.

"Sebenarnya lebih ramai yang ingin menyertai menjadi sukarelawan ini namun kita putuskan untuk mengehadkannya," katanya.

Tambahnya, dengan sokongan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan MATIC, beliau yakin akan dapat menganjurkan program sebegini yang lebih besar pada masa akan datang.

Tag: