• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

58 Cemerlang SPM 2020 DUN Seberang Takir Dirai

KUALA NERUS, 26 Julai – Walaupun dalam suasana pandemik COVID-19, seramai 58 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir terus diraikan atas kejayaan hebat tersebut.

Pegawai Penyelaras kawasan itu, Mohd Fadhil Wahab berkata, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang menggantikan persekolahan fizikal tidak menjadi penghalang bagi mereka dalam meraih keputusan baik dan ia wajar dipuji dan disambut.

Katanya, konsep hantar hadiah rumah ke rumah telah dilakukan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa berikutan trend peningkatan kes positif dalam negeri.

Sementara itu, Mohd Fadhil turut menceritakan kerjasama pelbagai pihak yang menjayakan sektor pendidikan negeri dalam mengharungi kekangan semasa.

“Segala kecaman diterima kerajaan sebelum ini tentang isu kesukaran jaringan internet, peranti serta kekalutan guru dan pelajar mengadaptasikan kaedah PdPR sebelum ini berjaya diselesaikan dengan baik," jelasnya.

Menemubual seorang pelajar cemerlang daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Wan Nazatul Wan Bakar, 17, berkongsi rahsianya iaitu amalan kerohanian yang istiqamah termasuk memperbanyakkan solat sunat juga antara faktor kejayaannya.

“Hubungan dengan Allah itu amat penting sebelum kita melakukan urusan harian termasuk pembelajaran kita, Alhamdullilah dengan itu saya berjaya mendapat keputusan 6A dalam SPM," katanya yang juga diantara peserta Tuisyen Rakyat.

Nazatul yang juga anak kepada penternak lembu memaklumkan bahawa dia berhasrat untuk meneruskan pembelajaran menerusi program pra-universiti.