• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Abdul Hadi Serah 42 Suratan Hak Milik Dan Borang 5A RTB Jambu Bongkok Terengganu

MARANG, 2 September - Seramai kira-kira 42 penduduk Marang menerima suratan hak milik tanah dan notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Lapang Jambu Laut (Jambu Bongkok) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di sini hari ini.

Jumlah tersebut membabitkan seramai 30 penerima hak milik tanah dan 12 penerima Borang 5A untuk RTB tapak Rumah Kediaman Lapang Jambu Laut Tambahan, Mukim Merchang, daerah Marang yang telah diluluskan sebelum ini.

Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkongsi kegembiraan tersebut dengan para penerima serta membuktikan kejayaan kerajaan negeri merealisasikan manifesto PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menyelesaikan isu tanah ini bagi memastikan rakyat kita yang memerlukan sentiasa mendapat bantuan yang sewajarnya, tidak kira bagi keperluan tempat tinggal, bercucuk tanam dan sebagainya.

"Justeru, apa yang berjaya kita peroleh hari ini perlulah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hak Milik & Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Lapang Jambu Laut (Jambu Bongkok) di Balairaya Jambu Bongkok Darat di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Marang, Mahari Abd Rahman dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lapang Jambu Laut, Zulkifli Puteh.

Sulaiman Sulong.

Dalam perkembangan sama, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong memberitahu, kerajaan negeri berusaha memastikan sebarang isu berkaitan dengan hak milik tanah diselesaikan dengan kadar yang segera dan memudahkan rakyat.

"Kerajaan negeri komited dalam usaha mengembalikan tanah-tanah terkilan terutama membabitkan peserta yang masih belum mempunyai hak di atas tanah yang mereka duduki. Kita berusaha bersungguh-sungguh memberikan geran kekal kepada mereka yang benar-benar layak.

"Pastikan tanah lot yang kita agihkan mesti dengan niat untuk dibina rumah kediaman, bukan untuk dijual, ianya bagi memberi keselesaan, membina keluarga bahagia serta mencapai hasrat masyarakat yang maju, berkat dan sejahtera," ujarnya.