• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

ADTEC Kemaman Rintis Program Jurukimpal Bawah Air

KEMAMAN, 21 Oktober - Projek perintis, program Kimpalan Bawah Air di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) bakal melahirkan juru kimpal tempatan dan membuka peluang kerjaya berpendapatan tinggi bagi rakyat tempatan dalam industri minyak dan gas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, seramai 10 orang peserta telah terpilih menerusi syarat ketat daripada 160 orang pemohon yang terdiri daripada lulusan bidang Teknologi Kimpalan di Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM).

Katanya, program melibatkan empat modul tersebut dibiayai menerusi dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Menurutnya, industri minyak dan gas di Malaysia menghadapi kekurangan tenaga kerja mahir yang kompeten daripada kalangan warga tempatan sebagai 'Juru Kimpal Bawah Air' atau lebih dikenali sebagai 'Underwater Welder'.

“Saya melihat penganjuran program khas 'Underwater Welding' ini amat wajar bagi mengurangkan kebergantungan kepada warga asing selari dengan apa yang dihasratkan oleh Kerajaan.

“Di industri minyak dan gas, juru kimpal bawah air berupaya memperoleh pendapatan enam angka setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kompetitif Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran Bagi Program Kimpalan Bawah Air Di ADTEC Kemaman, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Shakib Ahmad Shakir dan Pegawai Daerah Kemaman Mohd Sophian Abu Bakar.

Jelasnya, yuran pembiayaan untuk menjalani kursus Kimpalan Bawah Air adalah sangat tinggi mencecah RM46 ribu seorang, kerana kursus tersebut melibatkan pensijilan oleh badan antarabangsa.

“Harapan supaya perintis ini dapat melebarkan usaha melatih anak tempatan lain melalui bakal juru kimpal sedia ada hari ini, itu diantara objektif utama kami," katanya lagi.