• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Agenda Sejahterakan Rakyat DUN Bukit Besi Jadi Keutamaan


Oleh : Adli Mohamad
DUNGUN - Agenda mensejahterakan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi menjadi keutamaan seiring komitmen kerajaan negeri yang mahu membawa perubahan berteraskan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menyambut baik hasrat Yayasan Islam Daerah Dungun yang merancang program bersama masyarakat kampung supaya lebih menghayati aktiviti yang boleh membawa kepada fahaman agama yang baik.

"Kehadiran wakil dari Yayasan Islam Daerah Dungun pada hari ini bagi mengatur program yang menjurus kepada kesejahteraan masyarakat.

"Kita sambut baik usaha memmbawa kebaikan seiring dengan hasrat negeri bagi mencapai sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dikujungi wakil dari Pejabat Yayasan Islam Daerah Dungun, pada 27 September.

Ghazali berkata, antara perbincangan yang mencapai kata sepakat adalah menyusun atur Kelas Fardu Ain, Kelas Mengaji Al-Quran dan Kelas Pengajian Berkitab agar penduduk setempat mendapat manfaat dan kebaikan dunia dan juga akhirat.

"Di samping itu, antara perkara yang diperbincangkan adalah mengenai surau-surau yang perlu diperbaiki dan dibaik pulih. Antara surau yang dikenal pasti dan perlu dibaik pulih adalah Surau Kampung Besol," katanya.

Menurutnya, kerja-kerja membaik pulih surau akan dijalankan bersama penduduk setempat agar dapat membentuk tanggungjawab penduduk supaya menghargai dan sama-sama mengimarah surau berkenaan.

"Saya menyambut baik segala agenda dan perancangan yang ingin dilakukan oleh Yayasan Islam terutamanya dalam mewujudkan kelas keagamaan kerana selama ini kelas-kelas agama hanya bertumpu di bandar-bandar, sedangkan di kampung-kampung di DUN Bukit Besi masih lagi kurang dengan kelas keagamaan.

"Semoga usaha ini akan membawa kebaikan kepada seluruh penduduk Bukit Besi serta majlis ilmu akan subur dan berkembang mekar,"katanya.

Tag: