• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Agihan Bantuan Persekolahan Berjalan Lancar



Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU,12 Disember-  Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM12 juta untuk Dana Bantuan Pakaian Dan Alatan Sekolah menerusi Bajet 2019.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Batu Burok, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pengagihan bantuan tersebut dijalankan dengan baik dan lancar di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Negeri Terengganu.

“Ia adalah pelaksanaan kepada apa yang kita janji kepada rakyat setelah diungkapkan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini.

“Pembahagian ini secara umumnya berjalan dengan baik malah sekiranya terdapat sebarang masalah-masalah teknikal ianya akan diselesaikan oleh pihak pengurusan dengan penerima pada tarikh yang ditetapkan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pengagihan Bantuan Awal Persekolahan Sesi 2019 DUN Batu Burok bagi pemegang baucer dari Kampung Rajawali Chendering,Pantai Pandak Chendering,Kampung Aur Chendering dan Kampung Gong Pok Maseh di Markaz Tarbiah Kuala Ibai, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Batu Burok, Ustaz Abu Bakar Salleh.

Menurut Muhammad Khalil, sebahagian daripada penerima di dalam DUN Batu Burok telah menerima bantuan tersebut.

“Saya difahamkan seramai tidak kurang dari 800 orang penerima untuk hari ini, semalam seramai 1400 orang dan bakinya akan dibahagikan esok,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada para petugas kerana memudahkan rakyat untuk menerima bantuan berkenaan.

Program yang bermula seawal jam 9.30 pagi itu berjalan lancar dengan kerjasama yang baik ditunjukkan oleh para petugas yang mengagihkan bantuan berupa pakaian, kasut dan beg sekolah.

Tag: