KUALA TERENGGANU, 14 November - EPIC Berhad terus memperkukuh reputasinya sebagai organisasi yang mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) apabila meraih empat pengiktirafan pada Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MSOSH) ke-43 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Majlis anjuran Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia yang disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad itu menghimpunkan pelbagai organisasi serta individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelaksanaan budaya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. 
Menurut kenyataan tersebut, pada penganugerahan kali ini, Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB), anak syarikat EPIC Berhad yang menyediakan perkhidmatan pangkalan bekalan serta sokongan minyak dan gas, telah menunjukkan pencapaian cemerlang apabila mencatat Skor Prestasi OSH Cemerlang (Excellent OSH Performance Scores) dalam lingkungan 85 hingga 89.99 peratus, sekali gus berjaya meraih 'MSOSH Gold Merit' buat julung kalinya setelah memegang 'MSOSH Gold (Class I)' selama lima tahun berturut-turut.
"Turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila masing-masing dianugerahkan 'MSOSH Gold Class I' selepas memperoleh 'MOSH Gold Class II' tahun lalu.
"Dalam pada itu, Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili turut dinobatkan sebagai salah seorang penerima 'MSOSH President’s Award', satu pengiktirafan atas kepimpinan dan komitmen beliau dalam memperkukuh budaya keselamatan serta kesihatan pekerjaan di seluruh operasi Kumpulan," ujar kenyataan tersebut.
"Ia membuktikan bahawa amalan keselamatan yang baik bukan sekadar keperluan pematuhan, tetapi juga asas kepada keberkesanan operasi dan produktiviti organisasi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa EPIC Berhad akan terus memperkukuh sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang mampan serta memupuk budaya kerja selamat dalam kalangan warga kerja.
“Pihak syarikat komited untuk terus mempelbagaikan inisiatif bagi memupuk kesedaran serta memastikan setiap operasi dijalankan dalam persekitaran yang selamat, sihatdan produktif demi kesejahteraan pekerja, rakan perniagaan serta pihak berkepentingan,” ujarnya.